Friday, September 29, 2006

Pahit Akan Manis Juga Akhirnya

Assalamualaikum warahmatullah…

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.

Sedikit cerita (amik dari email yg aku dapat) utk rakan2 semua....mungkin korang dah baca tapi aku 'refresh' balik utk korang ... bukan nak memerli tapi mungkin ada kebaikan dari citer nieh

Bismillahir Rahmanir Raheem…

Minggu lepas, saya ke kedai rakan saya untuk menggunting rambut. Kebetulan, ketika itu rakan saya agak sibuk kerana sedang melayan seorang rakan lain yang datang untuk menggunting rambut anaknya yang baru berusia 3 bulan. Jadi rambut saya dipotong oleh pembantunya, seorang muda yang baru tamat latihan. "Macamana bang? Tapak satu ke kosong?" tanya pemuda itu. "Kosong!" jawab saya sambil menyambut senyumnya.

Ketika dia sedang 'menebas' rambut di kepala saya, anak rakan saya di sebelah tidak habis² menangis. Iyalah. Budak kecil bukan tahu apa. Tetapi tangisan bayi tersebut menarik perhatian pemuda yang menggunting rambut saya. "Lama tak dengar suara budak kecil menangis." katanya. "Seronok kan?" tanyanya. Saya hanya tersenyum. Kemudian saya bertanya kepadanya "Kau dah kahwin?" "Belum..." jawabnya ringkas.

"Tunggu apa lagi? Kahwin cepat la bagus..." "Belum ada rezeki bang..." jawabnya lagi sambil terus tersenyum. "Rezeki ada je di mana². Mana boleh kata belum ada rezeki" jawab saya pula. Dia tersenyum lagi. Kali ini dia menukar jawapannya kepada 'belum sampai seru'. Okaylah kata saya. Kalau kata belum sampai seru, atau maksudnya belum bertemu jodoh, mungkin saya boleh terima lagi.

Entahlah. Akhir² ini saya asyik menasihatkan orang² muda yang saya temui agar berkahwin cepat. Pantang terdengar mereka berbual tentang perempuan, atau 'bergayut' di telefon lama², pasti saya akan 'menggatal' menyuruh mereka berkahwin segera. Ramai yang memberi alasan mereka masih muda. "Huh!" dengus saya. "Aku dulu ingat umur 27 masa aku kahwin dulu tu muda lagi. Rupanya 27 tu dah terlalu tua sebenarnya.. ."

Tetapi yang paling ramai memberikan alasan mereka belum cukup wang, tidak cukup bersedia atau kerjaya belum kukuh. Sebenarnya, saya cukup akui perihal jodoh ini adalah ketentuan Allah Yang Maha Menentukan semata². Jika Allah menentukan belum ada jodoh untuk kita, buatlah bagaimana sekalipun, kita tetap tidak akan berkahwin. Tetapi untuk menjadikan 'rezeki' atau wang sebagai alasan, saya cukup tidak berkenan.

Saya teringat ketika saya hendak berkahwin dahulu. Sebelum saya mengikat tali pertunangan, saya telah pun mempunyai satu kerjaya yang boleh dikatakan stabil. Walaupun tidak semewah mana, namun saya masih mampu berkereta dan mampu menanggung ibu bapa saya serta mempunyai sedikit 'wang saku' untuk berfoya² (ini zaman muda² dulu la...). Namun segalanya berubah tidak lama selepas saya bertunang.

Syarikat tempat saya bekerja mula mengehadkan dan mengawal jumlah jam kerja lebih masa (OT). Pendapatan saya mula berkurangan. Bukan sedikit tetapi hampir seribu ringgit juga sebulan. Ketika itu, perniagaan yang saya jalankan juga mula dilanda masalah dengan rakan kongsi saya melarikan wang pelaburan saya. Akhirnya saya mula 'berkawan rapat' dengan kad kredit. Mula² memang mudah tetapi lama kelamaan saya jadi kian tersepit.

Akhirnya saya ambil keputusan untuk bertukar tempat kerja. Saya menyertai syarikat saya bekerja sekarang ini sebagai pelatih. Berapa sen sangat gaji yang saya perolehi sebagai pelatih. Selepas dibayar kad kredit, selepas ditolak duit kereta dan duit untuk ibu bapa saya, yang tinggal untuk saya adalah negatif. Dengan majlis yang bakal berlangsung tidak berapa bulan lagi, saya mula kehilangan arah.

Sesekali syaitan berbisik kepada saya untuk membatalkan perkahwinan. Tetapi tidak! Saya perkuatkan azam dalam hati untuk menunaikan janji yang telah saya buat. Di ketika itu juga, Allah telah memancarkan sinar hidayahNya kepada saya dan membawa saya pulang ke jalan yang dia redhoi. Saya mula belajar untuk mensyukuri nikmat dan belajar untuk berkata cukup dengan apa yang saya ada.

Saya mula pasrah dengan apa yang terjadi. Dan ketika majlis penyerahan wang hantaran hampir sampai, saya hanya ada sepuluh ringgit di dalam poket. Tunang saya (kini isteri) ketika itu pula masih menuntut di maktab. Bagaimana pula dia dapat membantu. Dan kerana dia masih di maktab jugalah kami harus kahwin segera. Kerana saya tidak mahu dia dihantar bertugas jauh sebaik selesai pengajiannya.

Akhirnya, apabila tiba hari penyerahan wang hantaran, saya bertekad untuk menggunakan wang ansuran bulanan kereta. Ketika itu, bayaran kereta saya 'tersangkut' untuk dua bulan. Pihak bank sudah sibuk menghubungi dan mengugut untuk mengeluarkan surat tarik. Kad kredit saya juga sudah tidak boleh digunakan lagi. Ada yang sudah sampai tahap maksimum dan juga yang digantung kerana tiada pembayaran dibuat.

Saya jadi begitu buntu. Tidak tahu bagaimana saya boleh dapat sumber lagi untuk meneruskan majlis yang telah dirancang. Nasib saya baik, tidak berapa lama sebelum majlis, saya terdengar berita isteri seorang dari teman saya diberhentikan secara VSS. Dengan muka tidak malu, saya pinjam darinya RM1000. Dan dengan berbekal wang sebanyak itu, dengan kereta tergantung 3 bulan, dengan kad kredit yang dibekukan, majlis saya dilangsungkan. ..

Tetapi itu cerita dulu. Kini semuanya sudah selesai. Alhamdulillah saya dikurnai seorang isteri yang penyayang dan sebuah keluarga yang bahagia. Anak akan bertambah menjadi dua pada penghujung tahun ini, insyaAllah. Kini, hutang kepada teman saya sudah dilangsaikan. Kad kredit yang dahulu sudah saya potong selepas bakinya saya selesaikan. Dan, kereta saya juga masih wujud hingga hari ini dan digunakan oleh ayah saya untuk ke kebun.

Inilah yang dinamakan rezeki. Sebenarnya, selepas berkahwin pun hidup saya tidaklah berubah serta merta. Tetapi sedikit demi sedikit keadaan menjadi lebih baik. Setahun selepas perkahwinan kami, latihan saya pun tamat dan saya telah menerima kenaikan gaji yang agak selesa. Isteri saya juga tamat pengajiannya di maktab dan ditugaskan mengajar di sekolah yang berhampiran rumah kami. Keadaan telah menjadi benar² pulih.

Kelahiran anak sulung kami, Nurul Naqibah Izzati juga bagaikan 'membawa rezeki' kepada kami. Rezeki yang kami terima bagaikan melimpah ruah. Pada ketika itu, saya rasakan kepala saya cukup lapang. Dan hidup saya juga amat tenteram. Tetapi langit tidak sentiasa cerah. Ada juga kalanya kami tersepit. Dan kini isteri saya hamil lagi. Untuk seketika, kami dilanda sedikit kesempitan tetapi tetap, tidak seteruk yang pernah kami alami dahulu.

Tetapi seperti kata orang tua², setiap anak ada rezeki mereka sendiri. Hari ini, saya dapat lihat beberapa 'pintu rezeki' yang baru mula terbuka untuk kami jengah. Saya yakin malah begitu yakin sesungguhnya rezeki itu ada di mana². Saya yakin Allah tidak akan pernah menduga hambaNya dengan dugaan yang tidak mereka sanggup tempuhi. Dan saya cukup yakin, segala pahit akan manis juga akhirnya.

Kerana itu, saya tidak merasa gusar lagi. Belanja kelahiran anak kedua kami, belanja untuk Naqibah yang kian membesar, kos untuk perpindahan rumah kami dan segala apa beban yang sedang dan akan kami tanggung, saya pasti Allah telahpun menyediakan jalan penyelesaiannya. Yang penting untuk diri saya, mesti terus berusaha dan mesti terus berdoa. Dan paling penting, mesti sentiasa yakin kepada sifat a-Rahman dan ar-RahimNya.

Saya pasti, ada orang yang pernah mengalami pengalaman yang lebih memeritkan dari apa yang kami alami. Tetapi percayalah, saat paling indah untuk sesuatu penyiksaan itu ialah tatkala mengenangnya apabila semua siksaan tersebut sudahpun selesai. Terasa manisnya hidup ketika itu. Sebab itu, kadangkala saya akan mengungkit kisah ini dengan ibu bapa atau pun isteri saya. Kami pasti akan tersenyum mengenangkannya.

Dan kerana itulah, saya seakan tidak dapat menerima apabila orang mengaitkan rezeki dan wang sebagai alasan mengapa mereka masih belum berkahwin. Rezeki itu milik Allah sebenarnya. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah berusaha sekuat mungkin dan berdoa sebanyak yang boleh. Selebihnya, serahkan kepada Allah untuk melaksanakan rencanaNya. Sesungguhnya Allah itu Sebaik² Perencana.

Jika rasa hendak berkahwin, berkahwinlah. Janganlah risaukan soal rezeki. Sesungguhnya perkahwinan adalah sesuatu yang mulia. Perkahwinan juga merupakan ibadah. Dan Allah telah menjanjikan bantuan untuk mereka yang berbuat sesuatu keranaNya. Dan sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji. Asalkan yang paling penting, dapatkan doa restu dan keizinan dari orang tua. Dan perbetulkan niat perkahwinan ini didirikan kerana Allah, bukan nafsu semata². Yang selebihnya, serah sahaja kepadaNya. Percayalah, pahit akan manis juga akhirnya. Jika tidak di sini, mungkin nanti di sana.....

Sekian buat kali. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kejahilan saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullah…

Pst : Sesapa yg lum kawen tue tapi dah ada calon..lekas2 ler gie kawen...yg blum ada calon lai..apo lagii...cari lerrr...hehhehehe

No comments: